Tuesday, May 4, 2010

‘1 MALAYSIA’

1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI
Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;
Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.
Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.
Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.
Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia
“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.

3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.

4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU


Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.

6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA


Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.
7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.
7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.
7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.
7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan
7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.
7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.
7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.
7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.
7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.

7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.
7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.
7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.

7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.
7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.
7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.
7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.
7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.
7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.
7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.
7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.
7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.
7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.
7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.
7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.

7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.
7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.
7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.
7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.
7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

8. KESIMPULAN

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

Wednesday, April 28, 2010

Beberapa Perkara Asas Perlembagaan

Kedudukan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)


Perkara 32 menyatakan Ketua utama bagi Persekutaun ialah YDPA, iaitu seorang raja yang dipilih daripada raja-raja sembilan buah negeri Melayu. Berdasarkan sistem Raja Berpelembagaan, YDPA diberi kuasa memerintah Persekutuan. Namun begitu Perkara 39 dan 40 menyatakan bahawa baginda dikehendaki bertindak atas nasihat jemaah menteri atau seorang menteri yang diberi kuasa dari jemaah menteri.


Perkara 41 pula menyatakan YDPA juga adalah Pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan, sementara Perkara 42 pula meletakkan baginda mempunyai kusa untuk mengampun dan menangguhkan hukuman terhadap orang yang telah disabitkan oleh mahkamah tentera bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Perkara 44 meletakkan baginda salah satu daripada tiga komponen badan perundangan Persekutuan, iaitu Parlimen. Perkara 71 pula menyediakan peruntukan bagi menjamin hak sesorang raja sesuatu negeri untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistemewaan di sisi perlembagaan bagi sesorang raja di dalam negeri itu.


Perkara 153 telah mengamanahkan baginda tanggungjawab untuk memelihara kedudukan istemewa orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain.


Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah ditangan baginda atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-raja.



Kedudukan Agama Islam



Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa ugama Islam ialah ugama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).



Kedudukan Bahasa Melayu



Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatisnya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerjaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.



Kedudukan Istimewa Orang Melayu



Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi :
- perkhidmatan awam : Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 – berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).



Kewarganegaraan


Apabila Perlembagaan 1957 maka dengan sendirinya negara mempunyai undang-undang kerakyatannya yang selaras. Kewarganegaraan dalam Perlembagaan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:-


- Perolehan Kewarganegraan

Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 1)

- Penamatan Kewarganegaraan

Bahagian 3 Perlembagaan (Bab 2)

-Peruntukan Tambahan

Bahagian 3 Perlembgaan (Bab 3)

Dalam Perlembgaan ada dua cara menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarganegaraannya:

-Perkara 24 menyatakan bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya mendapat kerakyatan daripada negara lain

-Perkara 25 menyebut bahawa kerakyatan akan dilucutkan sekiranya terbukti tidak setia kepada negara.



Kebebasan Hak Asasi


Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberikan Kebebasan Hak Asasi kepada seluruh warganegaranya sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hak-Hak Asasi ini meliputi :

Perkara 5 : Kebebasan Diri

Perkara 6 : Kebebasan Ekonomi (hamba abdi dan buruh paksa)

Perkara 7 : Perlindungan daripada undang-undang Jenayah

Perkara 8 : Hak Kesamarataan

Perkara 9 : Hak Kebebasan Bergerak

Perkara 10 : Kebebasan Bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan

Perkara 11 : Kebebasan Beragama

Perkara 12 : Hak Mendapat Pendidikan

Perkara 13 : Hak Terhadap Harta


Catatan : Untuk kepentingan, kebaikan dan keselamatan negara keseluruahannya hak-hak tersebut boleh disekat melalui antaranya:


• Perkara 149 – Perbuatan Subversif
• Perkara 150 – Kuasa-kuasa Darurat
• Perkara 159 – Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
• Akta Universiti dan Kolej 1971 pindaan 1975

Sunday, April 4, 2010

KOMPONEN DALAM SISTEM UNIT


1. Papan Induk------------------- Motherboard
2. Prosesor --------------------- CPU Central Processing Unit
3. Memori Utama ---------------- RAM Random Access Memory
4. Cakera Keras ----------------- Hard Disk
5. Pemacu cakera liut (FDD) ----- Floppy Disk Drive
6. Pemacu cd-rom (CDD) ---------- Cd-rom Drive
7. Kad Paparan atau ------------- kad grafik VGA Card
8. Unit bekalan kuasa ----------- Power Supply Unit
9. Kad bunyi -------------------- Sound Card
10. Modem ----------------------- Modem(internal)
11. Kad rangkaian --------------- Network Interface Card
12. Kotak pelindung ------------- Casing

Komponen Perkakasan Komputer


Secara amnya komponen perkakasan komputer terbahagi kepada 2 bahagian iaitu komponen perkakasan luaran dan komponen perkakasan dalaman.

KETERANGAN

Komponen 1 dikenali dengan Unit Sistem. Pada bahagian luar atau badannya dikenali dengan nama casing yang berfungsi sebagai pelindung kepada perkakasan dalaman computer seperti prosesor, memori, cakera keras, papan induk, kad tambahan dan lain-lain. Komponen ini merupakan komponen terpenting dalam sistem komputer peribadi dan setiap pengguna harus tahu apa yang terkandung di dalamnya.

Komponen 2 dalam sistem komputer dikenali sebagai komponen keluaran atau output. Contohnya monitor, LCD projector dan lain-lain.

Komponen 3 adalah komponen masukan atau input. Arahan-arahan dan data dimasukkan ke dalam unit sistem melaluikomponen ini seperti papan kekunci dan tetikus.

Komponen 4 dikenali dengan istilah periferal atau perkakasan tambahan seperti pembesar suara, pengimbas dan pencetak.